Wednesday, December 26, 2018

BAB 7: PENGURUSAN SUMBER



Image result for pengurusan sumberPengurusan ditakrifkan sebagai satu seni bagi melaksanakan proses kerja yang terancang dan dilaksanakan secara sistematik, teratur dan mempunyai garis panduan tertentu. Pengurusan juga terdiri daripada pengarahan dan pengawalan sesebuah kumpulan yang terdiri daripada satu atau lebih entiti untuk tujuan menyelaras dan mengharmonikan kumpulan tersebut bagi mencapai sesuatu matlamat yang telah dirancangkan (Buck, 2010). Abdul Aziz Yusof (2004, 2007) menyatakan bahawa pengurusan merujuk kepada seorang atau sekumpulan orang yang menjalankan fungsi pengurusan. Antara fungsi pengurusan termasuklah proses merancang, mengorganisasi, memimpin dan mengawal daya usaha anggota organisasi serta menggunakan sumber-sumber yang lain dalam organisasi bagi mencapai matlamat organisasi yang telah ditetapkan.

            Sumber pula merujuk kepada sesuatu bahan yang boleh digunakan serta dimanfaatkan oleh manusia dalam aktiviti ataupun kegiatan seharian. Sumber terdiri daripda pelbagai kategori iaitu sumber alam atau semulajadi, sumber manusia, kewangan dan teknologi. Kategori sumber ini digunakan manusia secara langsung untuk proses kelangsungan hidup dan mempunyai perkaitan dengan definisi pengurusan tadi. Oleh sebab itu, pengurusan sumber boleh ditakrifkan sebagai bagaimana manusia mengorganisasikan sumber yang ada melalui proses merancang, memimpin dan mengawal untuk mencapai sesuatu matlamat.
 Dari aspek pembelajaran berasaskan sumber pula, kemahiran mengurus sumber adalah sangat penting bagi menjelaskan sesuatu fakta, membuktikan kesahihan sesuatu fakta dan menyatakan kebenaran fakta berkenaan agar tidak menyimpang atau menyerong dengan etika dan norma-norma masyarakat. Terdapat beberapa jenis sumber atau alat bantu mengajar yang digunakan dalam membantu proses pembelajaran guru. Antara sumber yang digunakan ialah bahan bercetak, bahan teknologi maklumat dan juga bahan maujud. Walaupun jenis-jenis ini mempunyai ciriyang berbeza, namun ianya boleh digunakan bagi memastikan murid- murid memahami akan isi kandungan pelajaran serta mencapai objektifnya.

Image result for pengurusan sumber sekolah
Sumber bahan bercetak didefinisikan sebagai bahan yang mempunyai tulisan dan wujud secara fizikal. Selain itu, bahan ini boleh disentuh dan dibaca secara terus dan ianya mestilah dihasilkan melalui cetakan bukan daripada tulisan tangan. Sumber bahan bercetak meliputi buku, majalah, jurnal, esiklopedia, surat khabar, buku teks dan sebagainya. Sumber pengajarandan pembelajaran ini telah diguna pakai oleh guru sejak sekian lama kerana harganya yang murah, senang didapati, mudah diperolehi dan mudah alih. Selain itu juga, bahan bercetak ini merupakan bahan yang kekal dan boleh dibuat dirujuk pada bila-bila masa saja kerana ianya banyak disimpan di pusat sumber, perpustakaan dan arkib negara.
Seterusnya, bahan teknologi maklumat juga salah satu sumber yang digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ramai murid yang menyukainya. Jika sumber ini digunakan secara berkesan, alat bantu mengajar ini dapat meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru mempunyai kemudahan yang luas dalam menggunakan bahan teknologi maklumat ini kerana terdapat perisian-perisian percuma yang disediakan oleh kerajaan di setiap sekolah di seluruh negara dan perisian tersebut bertepatan dengan sukatan pelajaran yang sedia ada bagi kemudahan guru dalam menyampaikan pengajarannya. Antara kelebihan bahan ini ialah murid-murid akan lebih mudah untuk memahami apa yang diajar oleh guru dan dapat mengekalkan minat pelajar untuk pelajaranseterusnya sekaligus dapat meningkatkan prestasi akademik mereka.
Bahan maujud juga sering digunakan sebagai sumber dalam pengajaran dan pembelajaran. Bahan maujud merupakan bahan konkrit atau bahan sebenar yang boleh disentuh dan dipegang. Selain daripada itu juga, bahan ini merupakan bahan yang nyata yang ada disekeliling kita sama ada dalam keadaan hidup atau sudah diawet. Contoh bahan ini ialah komputer, perkakas sains, alat tulis, bangunan dan sebagainya. Selain itu bahan ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu realia asli (bahan yang hidup dan bukan hidup), realia awet (bahan yang telah diawet) dan spesimen ( mewakili kumpulan hidupan tertentu seperti daun-daun). Jika guru menggunakan bahan-bahan ini, maka para pelajar akan lebih memahami situasi sebenar berdasarkan gambaran dan bahan yang digunakan dengan mentranformasikan situasi tersebut dalam dunia yang nyata melalui deria sentuhan, penglihatan, rasa dan sebagainya.

Kesimpulannya, pengurusan sumber ini menuntut kepakaran guru untuk mencari dan mengenal pasti sumber yang berkesan dalam pembelajaran seperti bahan bercetak, bahan teknologi maklumat, dan bahan maujud supaya keberkesanan dalam pembelajaran itu dapat dibuktikan






No comments:

Post a Comment