Bab ini pula membincangkan pengurusan alam pembelajaran di sekolah.
Menurut Haji Samsudin bin Md Noor, pengurusan bermaksud satu proses untuk
mendapatkan penyertaan, kerjasama dari semua ahli dalam mencapai matlamat
kumpulan. Sememangnya, guru memainkan peranan yang penting di dalam bilik
darjah selain mengajar iaitu sebagai pengurus, iaitu mengurus rutin bilik
darjah, mengurus pelajar supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual
bertugas, mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif
dan sebagainya.
Kecekapan guru dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pengurus
dapat membantu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Menurut
Noraisah Ibni Qasim, pengurusan alam pembelajaran penting bagi memenuhi masa
yang diperuntukkan untuk mengajar, memastikan objektif pembelajaran dan
pengajaran tercapai serta tidak membosankan kerana dapat menarik perhatian
pelajar terhadap pengajaran tersebut.
Selain itu, pengurusan alam pembelajaran melibatkan persediaan ke
alam persekolahan. Terdapat beberapa asas kemahiran yang perlu dikuasai oleh
guru bagi menguruskan pembelajaran bilik darjah. Antara asas kemahiran bagi
menguruskan pembalajaran bilik darjah ialah pengetahuan guru tentang nama dan
latar belakang pelajar, prosedur menetapkan peraturan di bilik darjah dan
perancangan yang rapi berkaitan dengan susun atur di bilik darjah.
Guru perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal sebelum
memasuki kelas. Elemen penting yang perlu disediakan sebelum memasuki kelas
ialah kebijaksanaan dan penilitian dalam perancangan, pelaksanaan, penyeliaan,
penilaian dan refleksi. Guru juga perlu merancang kurikulum, sukatan, huraian
sukatan, buku teks, bahan rujukan tambahan dan maklumat tambahan daripada
pelbagai sumber termasuk laman web. Guru perlu menyediakan bahan bantu mengajar
dengan menitikberatkan aspek yang melibatkan inovasi dan kreativiti dalam
pengajaran dan pembelajaran supaya kelas tidak menjadi beku dan kaku diikuti
dengan perancangan kemajuan pelajar, merangka rancangan kerja tahunan, termasuk
ujian penilaian dan pentaksiran.
Di samping itu, suasana dalam bilik darjah mempunyai pengaruh
kepada para pelajar dalam pembelajaran. Terdapat beberapa ciri iklim bilik
darjah yang sesuai untuk sesi pengajaran dan pembelajaran iaitu dari segi
fizikal, emosi dan sosial. Bagi ciri fizikal, guru perlu memastikan susun atur
yang tidak begitu padat di dalam kelas dan memastikan kelas mempunyai pelbagai
kemudahan kepada para pelajar. Dari segi emosi pula, guru perlu bersifat
peramah, suka hati, mencintai pelajar dan mengharapkan kejayaan pelajar
mengikut tahap kemampuan pelajar. Dari segi sosial pula, ia melibatkan hubungan
pelajar dengan rakan sebaya bagi membantu mereka dalam menyiapkan kerja rumah
dan menjalankan tugasan kumpulan.
Aktiviti pembelajaran perlu dikendalikan dalam suasana yang
kondusif. Antara cara mewujudkan suasana yang kondusif dalam kelas ialah dengan
mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik, pembentukan akhlak dan
kemahiran tertentu dapat diterapkan dengan lebih mudah dan berkesan. Guru juga
dapat memberikan motivasi yang berkesan kepada para pelajar dan menanam nilai
murni dalam diri pelajar dengan lebih mudah dan berkesan.
Proses pembelajaran yang lebih menyeronokkan dapat membantu para
pelajar memberi tumpuan dan memahami pelajaran dalam kelas. Teknik pembelajaran
yang menyeronokkan perlu diaplikasikan di sekolah seperti dengan menggunakan
alat bantuan mengajar, aktiviti berkumpulan dan memberikan peluang kepada
pelajar memberi pendapat dan pandangan. Kaedah supaya pelajar lebih mudah ingat
pula ialah dengan menggunakan kaedah akronim, menyuruh pelajar ke hadapan untuk
menyelesaikan masalah di papan putih, menggunakan video dan menggunakan kaedah gallery walk.
Kesimpulannya,
pengurusan alam pembelajaran ini sangat penting kepada para pelajar bagi
memudahkan pelajar untuk mengulangkaji pelajaran dan lebih memahami apa yang
mereka pelajari. Selain itu, proses pemindahan maklumat juga dapat berjalan
dengan lancar tanpa gangguan dan pelajar dapat lebih fokus kepada sesuatu topik
sahaja. Guru perlu menguasai beberapa kemahiran dan teknik sebelum memasuki
kelas bagi memastikan para pelajar dapat menerima ilmu pengetahuan dengan
teknik yang mudah dan berkesan.
No comments:
Post a Comment